Home
PMIUM.org
ISU MAHASISWI : ULASAN HEWI PMIUM
Written by FASIHAH MOHD PAUZI    Wednesday, 15 April 2009 03:00    PDF Print E-mail

k.ah

Meneliti kes-kes yang melibatkan mahasiswi yang kerap kali berlaku kebelakangan ini membawa kita kepada satu perbincangan bagi mencari penyelesaian yang realistik dan dominan untuk dilaksanakan. Cetusan-cetusan idea dan kritikan yang dilontarkan dari pelbagai pihak membuka mata kita bahawasanya isu-isu ini bukanlah permasalahan yang perlu ditanggung oleh mahasiswi semata, bahkan ia adalah permasalahan global yang perlu diselesaikan secara berpadu. Persoalannya, sejauh manakah kita sendiri sebagai mahasiswi mengambil berat tentang masalah-masalah ini?

Ketika isu ‘Ladies Nite’ yang mengundang pelbagai respon dari pelbagai pihak mulai reda, warga universiti digemparkan pula dengan berita pencerobohan bilik siswi di beberapa kolej kediaman. Meskipun berlakunya ‘pencerobohan’ atas alasan ‘siasatan mengejut’, terdapat juga pencerobohan dilakukan untuk tujuan mencuri bahkan menggunakan senjata tajam untuk mengugut. Malah baru-baru ini kes kecurian yang lebih teruk berlaku pula di kolej kediaman yang lain. Isu mahasiswi ini semakin membarah apabila kes-kes salah laku mahasiswi IPTA seperti kes khalwat, bersekedudukan dan kegiatan pelacuran didedahkan semula oleh media-media massa apatah lagi isu ini telah berlaku sejak beberapa tahun.

Lambakan kes-kes sebegini menggambarkan bukan sahaja betapa lemahnya penjagaan keselamatan mahasiswi secara fizikal bahkan keselamatan rohani dan dalaman diri juga tidak diberi perhatian . Lantaran itu, banyak desakan-desakan dilakukan ke atas pihak berwajib atas dasar pihak mereka boleh mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah perkara sebegini berlaku lagi. Di Universiti Malaya sendiri, pihak HEP telah mengumumkan untuk memperuntukkan bajet sebanyak RM150 000 untuk tujuan keselamatan mahasiswi. Di peringkat nasional pula, pelbagai langkah dan lontaran-lontaran tekad diambil oleh pertubuhan wanita dalam memperjuangkan dan menyelesaikan isu-isu wanita baik dari sudut keselamatan fizikal mahupun keselamatan rohani dan akhlak. Namun, adakah memadai langkah-langkah ini diambil tanpa pencegahan daripada mahasiswi sendiri? Atau cukupkah sekadar menuding jari menyalahkan orang lain di kala kes-kes sebegini melanda mahasiswi?

Buat mahasiswi, kesedaran akan kepentingan penjagaan diri bukanlah suatu perkara baru. Bahkan ia kerap kali ditanamkan dalam diri mahasiswi. Seperti kebiasaan, mahasiswi diminta berhati-hati, berjaga-jaga sepanjang masa, menjauhkan diri dari perkara yang tidak baik dan pelbagai lagi nasihat dan panduan diberikan. Namun apa yang menggusarkan ialah, masih terdapat kelompok mahasiswi yang memandang enteng perkara ini dan menyebabkan kes-kes sebegini berulang sehingga satu tahap, pemangsa sendiri adalah seorang mahasiswi.
Perkara ini yang perlu kita tangani dengan sewajarnya. Bahkan jika kita melihat kepada isu yang lebih serius seperti kes-kes khalwat dan pelacuran yang melibatkan mahasiswi IPTA, adalah tidak wajar untuk kita menuding jari menyalahkan orang lain, akan tetapi kesalahan ini patut ditanggung oleh semua mahasiswi atas dasar tidak wujud keprihatinan antara satu sama lain. Justeru, dengan menularnya permasalahan ini, resolusi terbaik ialah dengan meletakkan agama sebagai penawar yang mencegah dan mengubati. Islam misalnya mengajarkan kepada umatnya khususnya wanita berkaitan perintah memelihara diri yang bertujuan untuk menjaga maruah dan keselamatan wanita bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat. Firman Allah dalam

Hai nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, Kerana itu mereka tidak di ganggu. dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang -
Surah Al-Ahzab : ayat 59

Perintah memakai jilbab ( tudung ) ini misalnya telah Allah janjikan dengan suatu ‘jaminan keselamatan’ iaitu supaya wanita dikenali sebagai seorang muslimat agar tidak diganggu. Walaubagaimanapun, ia tetap bersyarat, iaitu memakai jilbab ( tudung ) tersebut berserta Iman. Dalam kata lain, pemakaian tudung tidak akan bermakna jika akhlak tidak dihias dengan iman. Jika perkara-perkara ini dipenuhi, maka dengan izinNya, pasti diri seseorang wanita akan terpelihara. Di sinilah letaknya peranan agama untuk memartabatkan maruah seorang wanita dan dalam masa yang sama untuk menjaga keselamatannya secara fizikal dan rohani. Hanya tinggal wanita atau mahasiswi khususnya yang perlu mengambil iktibar dan pengajaran demi kesejahteraan diri. Selain itu, dalam isu keselamatan, mahasiswi kini perlu lebih berani dalam mengetengahkan dan menyuarakan kebenaran agar hak-hak keselamatan mahasiswi diambil berat dan tidak dikesampingkan. Jika mahasiswi sendiri ragu-ragu untuk membela diri, apa yang merisaukan, akan adanya pihak lain yang akan mengambil kesempatan ini untuk menganiaya kaum wanita. Usaha yang komited dalam mencegah kes-kes ini dari berulang bukan sahaja perlu mendapat sokongan semua pihak, malah perlu dijalankan dengan konsisten. Sesungguhnya usaha pencegahan lebih perlu diutamakan kerana mencegah lebih baik dari mengubati ( prevention is better than cure ). Bak kata pepatah, jangan sudah terhantuk baru terngadah.

FASIHAH MOHD FAUZI

TIMB.PRESIDEN PMIUM 09/10

 
Mahasiswa Membantah Kezaliman Terhadap Muslim Selatan Thai
Written by Pengendali    Sunday, 19 July 2009 04:23    PDF Print E-mail

Isu pembunuhan membabitkan muslim selatan Thailand sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat Malaysia. Pergolakan di tiga wilayah majoriti Muslim yang sudah mengorbankan 2,900 nyawa ini amat menyentuh sensitiviti umat Islam di seluruh dunia. Tidak ketinggalan juga keprihatinan yang ditunjukkan oleh mahasiswa di negara kita. Pelbagai cara ditunjukkan sebagai tanda tidak puas hati terhadap kekejaman yang berlaku termasuklah kempen dan demonstrasi secara aman yang diadakan di Kedutaan Thailand, Ampang pada 17 Julai lepas.

Read more...
 
UM kembali 200 terbaik dunia:syabas pada MPMUM dan Pentadbiran UM
Written by Pengendali    Thursday, 08 October 2009 08:16    PDF Print E-mail
08 oktober 4.30 p.m: Media seluruh Malaysia dan sebahagian media antarabangsa hari ini mengucapkan ucapan syabas dan
tahniah kepada Universiti Malaya yang telah berjaya kembali ke ranking 200 universiti terbaik dunia.Justeru itu,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) turut tidak terlepas dari memberikan penghargaan kepada 
MPMUM dan pihak pentadbiran Universiti yang telah berjaya menjadikan seluruh rakyat malaysia bebangga di atas
kejayaan ini.
Read more...
 
MENYINGKAP PERKAITAN ANTARA NUZUL AL-QURAN DENGAN LAILATUL QADAR
Written by Pengendali    Sunday, 06 September 2009 20:19    PDF Print E-mail
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

 

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

 

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.


  Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1.      Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2.      Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3.      Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
 

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

            Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”. 

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

    

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

 

 

sumber~http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=2084
 
Forum Terbuka E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus Tanda Kesungguhan BANTAH
Written by Pengendali    Friday, 01 January 2010 23:14    PDF Print E-mail

KUALA LUMPUR, 1 Jan:  Forum Terbuka E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus telah berjaya diadakan dengan jayanya di hadapan Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya(APIUM)  kira-kira pada jam 9.30 malam walaupun pihak penganjurnya iaitu Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) menghadapi pelbagai kekangan daripada banyak pihak.

Read more...
 
  • «
  •  Start 
  •  Prev 
  •  1 
  •  2 
  •  3 
  •  4 
  •  5 
  •  6 
  •  7 
  •  8 
  •  9 
  •  10 
  •  Next 
  •  End 
  • »


Page 1 of 10

Your are currently browsing this site with Internet Explorer 6 (IE6).

Your current web browser must be updated to version 7 of Internet Explorer (IE7) to take advantage of all of template's capabilities.

Why should I upgrade to Internet Explorer 7? Microsoft has redesigned Internet Explorer from the ground up, with better security, new capabilities, and a whole new interface. Many changes resulted from the feedback of millions of users who tested prerelease versions of the new browser. The most compelling reason to upgrade is the improved security. The Internet of today is not the Internet of five years ago. There are dangers that simply didn't exist back in 2001, when Internet Explorer 6 was released to the world. Internet Explorer 7 makes surfing the web fundamentally safer by offering greater protection against viruses, spyware, and other online risks.

Get free downloads for Internet Explorer 7, including recommended updates as they become available. To download Internet Explorer 7 in the language of your choice, please visit the Internet Explorer 7 worldwide page.